KUALA LUMPUR: Malaysia berbangga dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi teknikal terulung negara yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sejak penubuhannya pada 1872, Perdana Menteri berkata, JKR melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur sosioekonomi bernilai lebih RM500 bilion merangkumi jalan raya, sekolah, hospital, universiti dan bangunan kerajaan.

"Terbaharu, kepakaran JKR terbukti apabila membantu menyiapkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam tempoh tiga hari.

"JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam pelaksanaan projek yang akan memberi percambahan kepada pelaksanaan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 berimpak tinggi.

"Terima kasih JKR yang banyak berjasa kepada rakyat," katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020, hari ini.

Muhyiddin berkata, HPTN ia disambut pada Sabtu pertama Disember setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada golongan profesion teknikal di Malaysia.

Katanya, sehingga kini Malaysia mempunyai 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.

"Ini membuktikan betapa profesion ini adalah segmen kritikal untuk pembangunan negara.

"Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, dan seluruh warga kementerian dan agensi di bawahnya atas kejayaan penganjuran HPTN 2020 tahun ini.

"Selamat menyambut Hari Profesion Teknikal Negara untuk semua," katanya.




Sumber- Beritah Harian 05 Disember 2020
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/761817/jkr-banyak-berjasa-kepada-negara-pm

logobawah
Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Jumaat 15 Januari 2021, 05:02:01.