24 Ogos 2016 - Sepasukan audit dalaman Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari JKR Malaysia yang diketuai oleh YM Raja Rusdy Irwan Bin Raja Hussin beserta Tn. Haji Mohd Sharidin Bin Abd. Halim, En. Razaman Bin Udin, En. Wan Asri Bin Wan Ibrahim dan En. Nurul Azhar Bin Ghazali telah berkunjung ke Ibu Pejabat JKR Negeri Perak. Tujuan audit dalaman pada kali ini adalah bagi menilai pematuhan aktiviti di premis-premis JKR Negeri Perak yang dijalankan berdasarkan perundangan dan peraturan berkaitan.

Majlis pembukaan audit pada 23 Ogos 2016 tersebut telah disempurnakan oleh Tn. Syed Ridzuan Bin Syed Idris, Ketua Penolong Pengarah Korporat, JKR Perak serta disusuli dengan taklimat ringkas oleh Ir. Mohd Fadzly Bin Ahmad Zawawi selaku Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Premis Bangunan Ibu Pejabat JKR Perak.

Sebanyak tiga (3) Cawangan JKR Perak telah terlibat dalam sesi auditan kali ini iaitu JKR Daerah Batang Padang, JKR Cawangan Kejuruteraan Mekanikal dan Ibu Pejabat JKR Negeri Perak. Pasukan audit yang diiringi oleh Ir. Mohd Fadzly Bin Ahmad Zawawi dan En. Mohd Syihan Bin Abdul Rashid selaku penyelaras Program Audit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari Bahagian Korporat telah bersama-sama memeriksa setiap bahagian di premis bagi memastikan elemen KKP dipatuhi.

Keseluruhannya didapati bahawa pematuhan aktiviti di ketiga-tiga premis JKR Negeri Perak adalah baik dan boleh dipertingkatkan pada masa hadapan. Pihak JKR Negeri Perak mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan audit dalaman JKR Malaysia yang telah berkunjung pada kali ini kerana sudi memberikan panduan berguna kepada pihak yang terlibat. Terima kasih juga kepada semua kakitangan JKR Negeri Perak yang telah memberikan komitmen yang baik semasa audit dalaman dijalankan.

  • JKR Malaysia
logobawah
Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Rabu 27 Mei 2020, 11:52:54.