Salam Aidilfitri serta Salam 55 tahun Kemerdekaan, Janji Ditepati.

Pertamanya, segala ucapan tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT justeru selesai sebulan kita melaksanakan ibadah puasa dalam satu perjalanan spiritual mentarbiyyah rohani dan menguji fizikal. Maka, dengan tibanya fajar Syawal yang mulia, umat Islam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran menyambut satu kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan oleh Rasulullah SAW yakni jihad bagi melawan nafsu.

Dalam meniti hari untuk menyambut Hari kemenangan ini, marilah kita memulihkan dan mengukuhkan hubungan sesama kita dengan saling hormat menghormati, bertimbang-rasa, amanah dan berintegriti dan mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan. Perlu diingatkan bahawa setiap pekerjaan yang dilaksanakan adalah merupakan ibadah dan kita hendaklah menjalankannya dengan penuh keikhlasan dan memegang amanah yang dipertanggungjawabkan walaupun seringkali diuji dengan pelbagai bentuk dugaan dan cabaran. Pucuk pangkalnya, usaha gigih dan ikhlas akan membantu meningkatkan kualiti kerja dan melahirkan insan yang berjaya sekaligus memberi impak positif kepada jabatan dan Negara khususnya.

Maka sempena menyambut Hari Raya Aidil Fitri ini dan 55 Tahun Kemerdekaan ini, maka marilah kita sama-sama meraikannya dan kunjung mengunjung serta ziarah menziarahi sesama kita serta kedua ibubapa jangan dilupakan. Kasih sayang yang wujud antara kita adalah pelengkap kepada kehidupan kita semua. Kepada seluruh warga JKR Perak yang akan pulang ke kampung halaman, maka diingatkan bahawa berhati hatilah di jalan raya. Bersederhanalah dalam berbelanja dan jagalah pemakanan bagi menjamin kesihatan.

Akhir kata, saya dengan rasa kerendahan hati bagi pihak diri dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Turut dihulurkan salam istimewa Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga JKR Perak dan seluruh rakyat Malaysia amnya. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah hil Hamd. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

€œ Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati.€

Dato' Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad,
DPMP., PPT., AMK.
Pengarah Kerja Raya Perak

logobawah

Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Selasa 19 Mac 2024, 00:41:29.