SEJARAH JKR LARUT MATANG & SELAMA

Jabatan Kerja Raya (JKR) Taiping kini meliputi dua daerah, iaitu Larut dan Matang berserta daerah kecil Selama yang mempunyai keluasan 2,048 km/per. (800 b/ per). Dari catatan silam yang dapat di kesan, JKR Taiping telah diwujudkan pada tahun 1935 dan berfungsi di sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Taming Sari (dahulunya Jalan Besar), Taiping yang ketika itu dikenali sebagai ‘TOWN HALL’ yang terletak berhampiran Padang Esplanade dan ditempatkan di tingkat bawah. Di bangunan yang sama juga di tingkat atasnya pula merupakan Ibu Pejabat JKR Negeri Perak atau STATE ENGINEER OFFICE. Bangunan ini telah pun dirobohkan pada tahun 1975 di mana tapaknya kini telah dibina sebuah bangunan Dewan Perbandaran Taiping yang baru.

 Waktu pemerintahan Tentera Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 hingga 1945, pejabat JKR Taiping telah dipindahkan ke Sekolah Menengah King Edward VII dan pada masa itu pentadbiran ini diambil alih oleh Tentera Jepun dari tangan Pegawai Teknik British. Pada bulan Disember 1945, British telah kembali ke Tanah Melayu dan pentadbiran J.K.R telah disusun. Di waktu itu JKR Taiping ditempatkan di sebuah bangunan di persimpangan antara Jalan Stesen dan Jalan Istana Larut. Di antara tahun 1979 hingga 1980 satu perancangan membina sebuah bangunan yang baru dan tersendiri bagi memuatkan keseluruhan kakitangan telah dicadangkan memandangkan bangunan yang digunakan ketika itu (Jalan Stesen) adalah tidak lagi sesuai dan selesa bagi bilangan pekerja yang bertambah ramai. Hasil dari perancangan ini, dalam tahun 1981 Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan projek pembinaan bangunan baru dan kerja-kerja pembinaan bermula pada 10.08.1981 dan telah siap pada 03.07.1983 yang menelan belanja sebanyak RM2,326,843.00.

 Pada 15.10.1983 pentadbiran JKR Taiping telah berpindah ke bangunan baru ini yang berhawa dingin dan lebih selesa dan teratur berserta kelengkapan pejabat terbaru. Bangunan ini memberi berbagai kemudahan kepada kakitangan diantaranya tempat letak kereta yang luas dan disediakan ruang rekreasi sukan. Bangunan baru ini juga diperindahkan lagi dengan taman-taman bunga kolam-kolam ikan dan kolam air pancut yang mana rekreasi ini adalah hasil cipta dan usaha kakitangan JKR Taiping secara bersepadu. Dengan kemudahan dan keselesaan mendorong lagi semua pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya Taiping menjayakan konsep ‘JAYAKAN KEHENDAK RAKYAT’.

 
logobawah
Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Isnin 18 Oktober 2021, 04:50:32.