PUTRAJAYA: Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya 2021–2025 yang berpaksikan empat teras strategik utama, bakal memberi fokus kepada usaha industri pembinaan dalam pemulihan semula ekonomi Malaysia.

Ia bagi merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan mengambil kira keupayaan kementerian menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kesediaan menerokai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan dasar semasa yang akan diperkenalkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata empat teras strategik itu adalah memperkukuh pembangunan infrastruktur dan keterangkuman wilayah; memperluas penggunaan teknologi digital dalam pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur.

Selain itu, memperkasakan kapasiti dan kebolehan serta daya saing industri pembinaan; dan memantapkan tadbir urus organisasi untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, teras strategik itu disokong oleh strategi dan pelan tindakan yang disusuli pemantauan dan penilaian supaya sentiasa selari dengan aspirasi kementerian serta kerajaan secara amnya.

Katanya, perincian berkaitan pelan tindakan yang dirancang sepanjang 2021-2025 boleh diperoleh secara digital daripada laman sesawang Kementerian Kerja Raya.

"Pelan ini mengambil kira analisis persekitaran dan cabaran isu semasa serta menekankan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya bersama institusi awam dan swasta.

"Ini bertujuan melahirkan tenaga kerja industri pembinaan warga tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan berkualiti yang akan diwujudkan dalam industri pembinaan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat 2021 dan pelancaran Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya secara maya di sini, hari ini.

Fadillah berkata, kementerian akan terus berperanan sebagai pemacu dalam membangunkan kemudahan infrastruktur dan ejen perubahan dalam industri pembinaan negara.

"Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya 2021–2025 akan menjadi dokumen penting untuk menunjukkan komitmen kementerian itu serta agensi bawahnya.

"Tuntutan pelanggan yang semakin meningkat dan mencabar memerlukan perancangan strategik yang holistik dan responsif, selain perlu disampaikan dengan segera selaras norma baharu," katanya.

Fadillah berkata, kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat oleh Kementerian Kerja Raya dan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga

Lebuhraya Malaysia (LLM) dan tiga lagi Lembaga Profesional akan ditransformasi melalui penggunaan teknologi digital serta lestari.

Katanya, ia bagi memastikan projek yang dirancang dapat memberikan manfaat secara optimum kepada rakyat.

"Semua pelan tindakan yang dirangka melalui Pelan Strategik

Organisasi Kementerian Kerja Raya 2021–2025 diharap dapat memenuhi aspirasi rakyat yang ingin melihat Malaysia terus maju dan makmur.

"Kita harap 2021 akan menjadi titik permulaan kebangkitan semula ekonomi Malaysia," katanya.

Bagi menangani isu jalan berlubang hingga menyebabkan beberapa kes kematian tahun lalu, Fadillah berkata, pelan tindakan 'Ke Arah Penyenggaraan 'Potholes' Lebih Cekap' turut diperkenalkan dalam pelan strategik berkenaan.

Katanya, pelan tindakan itu akan dilaksanakan dan dipantau secara berterusan bagi memastikan strategi mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan infrastruktur yang dibangunkan untuk kemudahan rakyat tercapai.

Tahun lalu sahaja, katanya, sebanyak 168,000 lubang jalan ditampal oleh konsesi, menjadikan jumlahnya kepada 880,049 dalam tempoh lima tahun bermula 2016.

Terdahulu, Fadillah berkata, kementerian mula menyaksikan perkembangan positif dalam industri pembinaan negara pada suku keempat 2020 iaitu sehingga Disember lalu.

Katanya, sebanyak 98 peratus tapak binaan di seluruh negara sudah beroperasi semula sepenuhnya walaupun nilai projek pembinaan menyusut kepada RM61.4 bilion atau 39 peratus tahun lalu berikutan pelbagai masalah termasuk pandemik COVID-19.

Berikutan industri pembinaan tidak terkecuali daripada arahan pemberhentian operasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, katanya, banyak projek pembinaan

terpaksa diberhentikan.

"Industri binaan kerugian kira-kira RM11.6 bilion sepanjang tempoh PKP dan pelbagai masalah berkaitan timbul kerana penutupan tapak bina seperti kehilangan pekerjaan dan sebagainya," katanya.

Sumber : Berita Harian @ Januari 29, 2021

logobawahen

Copyright © 2020 DEPARTMENT OF TRADE WORLDWIDE BUSINESS
Best viewed through Mozilla Firefox and Google Chrome at 1024 x 768 resolution. Last Updated:Wednesday 27 March 2024, 06:39:18.