MAKLUM BALAS JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA BERHUBUNG BANTAHAN PEMBINAAN JEJANTAS PEJALAN KAKI DI SEKOLAH KEBANGSAAN AYER TAWAR, LALUAN FT5, DAERAH MANJUNG, PERAK.

Rujuk di sini:jkrmalaysia

Wakil rakyat, pengurusan masjid bantah pembinaan jejantas

BERUAS: Wakil rakyat di sini dan pihak pengurusan Masjid Al-Falah Kampung Ayer Tawar, membantah pembinaan jejantas pejalan kaki yang akan dibina merentangi laluan Ipoh-Lumut kerana dianggap membazir dan tidak benar-benar memenuhi keperluan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, walaupun jejantas itu ada kebaikannya iaitu membolehkan penduduk menyeberangi jalan raya Ipoh-Lumut untuk ke Masjid Al-Falah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Tawar, tetapi ada banyak keburukannya juga.

“Antaranya ialah kos yang amat tinggi iaitu RM6.2 juta selain lebih susah menggunakan jejantas untuk ke sekolah kerana jalan sedia ada dari simpang empat lampu isyarat berhampiran lebih senang dan sesuai.

“Kereta tidak boleh digunakan atas jejantas, hanya pejalan kaki dan motosikal selain sebahagian padang sekolah akan diambil untuk pembinaan jejantas ini,” katanya pada sidang akhbar di lokasi pembinaan jejantas itu yang terletak antara Masjid Al-Falah dan SK Ayer Tawar hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern dan ADUN Pantai Remis, Wong May Ing.

Menurut Koo Ham, projek itu tidak pernah dibincangkan bersama wakil rakyat sebelum ini dan tidak tahu siapa yang mencadangkannya dan dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Manjung bahawa ia diluluskan di peringkat atasan Kerajaan Persekutuan.

“Projek ini tidak masuk akal kerana ada laluan mudah ke sekolah dan kami meminta satu siasatan dibuat untuk menentukan sama ada mereka yang meluluskan projek ini masih layak menduduki jawatannya atau terdapat unsur-unsur salah guna kuasa dan rasuah,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan projek alternatif laluan berturap lebar hampir 20 meter dibina bersebelahan SK Ayer Tawar menuju ke Masjid Al-Falah kerana kosnya lebih rendah iaitu sekitar RM2 juta termasuk kos pengambilalihan tanah dengan harga pasaran semasa kira-kira RM500,000.

Menurut beliau, laluan baharu di Jalan Transdinding akan menjadi akses tambahan kepada sekolah dan masjid tersebut, boleh digunakan semua kenderaan, padang sekolah sedia ada tidak diganggu serta boleh menjadi kawasan parkir tambahan terutamanya pada waktu solat Jumaat dan hari perayaan di sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Falah, Datuk Mazlan Abas, 66, ketika dihubungi menyuarakan kebimbangan jejantas itu yang terletak berhampiran simpang empat akan menjadi projek ‘gajah putih’ sebagaimana jejantas di Titi Gantung dan Changkat Keruing, kerana tidak ramai menggunakannya.

Jelas beliau, projek itu yang dijangka siap pada 3 Julai tahun depan hanya memberi sedikit manfaat kepada masjid itu, selain ia mengambil sebahagian besar ruang parkir tambahan yang selalu digunakan jemaah ketika solat Jumaat serta menjejaskan perniagaan restoran dan kedai mencuci kenderaan yang menyewa di tanah milik masjid tersebut.

Menurutnya, penduduk warga emas mungkin tidak akan menggunakan jejantas itu untuk ke masjid kerana mereka lebih selesa menaiki kereta dan berpendapat laluan alternatif yang dicadangkan adalah lebih sesuai.

Dalam pada itu, sumber SK Ayer Tawar memberitahu, pihaknya tidak memohon atau membantah projek itu sebaliknya menyambut baik jika ia mampu memberi kebaikan kepada komuniti setempat dan tidak menyukarkan ibu bapa menghantar atau mengambil anak di sekolah.

Menurutnya, kawasan simpang empat lampu isyarat berdekatan sekolah itu sering berlaku kemalangan dengan satu daripada lampu isyarat yang patah dirempuh lori baru-baru ini dan belum berganti.

“Keadaan menjadi lebih sibuk dan sesak serta agak berbahaya ketika tengah hari Jumaat termasuk ada penunggang motosikal melawan arus kerana mahu cepat ke masjid, mengambil anak atau urusan lain,” katanya.

Mengenai sebahagian kawasan padang sekolah digunakan untuk membina jejantas tersebut, beliau menjelaskan hanya sedikit kawasan digunakan untuk tapak tiang jejantas yang tidak banyak memberi kesan kepada kegunaan padang itu.

Beliau memberitahu padang sekolah itu asalnya milik Masjid Al-Falah yang diwakafkan kepada sekolah tersebut.

“Berhubung laluan alternatif, pihak sekolah sebelum ini telah memohon kepada kerajaan untuk pengambilalihan tanah tersebut tetapi pemilik tanah itu meminta pampasan terlalu tinggi iaitu RM3 juta menyebabkan rundingan tergendala.

“Saya percaya jika rundingan lebih awal dilakukan dengan pemilik tanah, mungkin perkara ini boleh diselesaikan,” katanya. – UTUSAN 25.02.2022

 

logobawah

Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Rabu 27 Mac 2024, 06:39:18.