Perutusan Pengarah JKR Perak Sempena Tahun 2014
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana izin dan limpah kurniaNya, dapat kita mengorak langkah ke tahun baru 2014. Semoga lembaran baru disambut dengan azam yang baru untuk menjadi lebih baik dari semalam.
Secara peribadi saya amat berpuashati dengan pencapaian JKR Perak Tahun 2013 mengharungi segala rintangan dan cabaran dalam melaksanakan projek-projek pembangunan RMKe10 sepanjang tahun disamping kerja-kerja penyelenggaran jalan samada Jalan Negeri dan juga Jalan Persekutuan. Kejayaan-kejayaan ini adalah berkait rapat dengan semangat dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme serta kerja berpasukan kakitangan JKR Perak untuk merealisasikan misi dan visi jabatan. Dengan itu, saya mengambil kesempatan ini melontarkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga JKR Perak yang komited dan berganding bahu menyelesaikan masalah dan isu rakyat.
Walaubagaimana pun, kita tidak sepatutnya merasa selesa di atas kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi, oleh itu saya percaya dengan segala kepakaran, potensi dan kemudahan yang ada kita masih mempunyai peluang yang luas untuk terus maju ke tahap yang lebih tinggi, dengan pepatah ‚ kalau tidak dipecahkan ruyung mana kan dapat sagunya.
Pada tahun 2014 ini, saya menyeru kepada semua warga JKR agar memperbaharui tekad dan azam untuk menyelesaikan masalah rakyat terutamanya kepada bisness utama JKR iaitu penyerahan projek-projek pembangunan mengikut jadual yang ditetapkan dengan kualiti kelas pertama. Disamping itu juga, pengurusan aset dan juga penyelenggaraan tidak dilupakan untuk sama-sama ditingkatkan. Saya percaya perkara ini tidak akan menjadi halangan kepada jabatan apabila warganya sentiasa bertindak secara proaktif dalam membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian bagi memenuhi kepuasan pelanggan dan rakyat seluruhnya.
Oleh yang demikian itu, pelbagai program telah dirancangkan oleh jabatan untuk mencapai kepuasan pelanggan terutamanya dari segi keselamatan jalan raya. Program Audit Keselamatan Jalan Raya akan dilaksanakan untuk semua jalanraya di Negeri Perak. Program ini adalah bertujuan untuk melihat dari aspek kejuruteraan termasuk dalam perancangan, rekabentuk, pembinaan supaya jalan yang dibina selesa dan selamat kepada pengguna jalanraya. Selain daripada itu, program-program turun padang dan CSR juga akan diteruskan pada tahun ini bagi menyelami dan meyelesaikan masalah rakyat. Sekali lagi saya berharap agar semua warga JKR berganding bahu bersama-sama saya untuk tujuan ini.
Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun Baru 2014, semoga usaha kita akan diberkati Allah s.w.t dan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sesungguhnya sesuatu kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha gigih dari kita semua.
Sekian, terima kasih.
Toh Paduka Setia Dato‚ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad Pengarah Kerja Raya Negeri Perak Darul Ridzuan. 31 Disember 2013. |