Skip to main content

Perutusan Terdahulu

Perutusan Pengarah JKR Perak Sempena Tahun 2015

Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam Perak Aman Jaya.

Alhamdulillah, Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya sekali lagi kita diberi peluang melangkah ke tahun baru 2015 bersamaan 1436 Hijrah.


Tahun 2014 telah melabuhkan tirainya dan sempena tahun baru ini saya mengucapakan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua warga kerja JKR Perak. Sesungguhnya waktu dan masa berpacu dengan amat pantas, hari esok menjadi tanda pembuka lembaran kepada dekat yang seterusnya penuh dengan cabaran.

Merentasi masa dalam tempoh 12 bulan yang lalu meninggalkan kenangan manis dan pahit buat kita. Pelbagai kejayaan telah diraih termasuklah kejayaan dalam menyiapkan projek-projek pembangunan di Negeri Perak, kejayaan dalam menjayakan majlis-majlis rasmi kerajaan serta kejayaan melakukan inovasi dan perubahan kepada kepada sistem dan prosedur. Diharap momentum pemerkasaan budaya warga berinovasi ini dapat diteruskan bagi penghasilan kualiti kerja yang memberi manafaat kepada JKR. Saya percaya dengan segala kepakaran, potensi dan kemudahan yang ada kita masih mempunyai peluang yang luas untuk terus meningkatkan lagi pencapaian ke tahap yang lebih tinggi.

Tahun datang dan pergi, masa berlalu tanpa disedari. Tahun ini kita diuji dengan banjir yang bukan sahaja melanda di Negeri Perak, malah turut dirasai dibeberapa negeri yang lain. Disini saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak di atas segala khidmat dan sumbangan tenaga yang diberikan serta bertungkus lumus mengerahkan tenaga tanpa mengira penat lelah.

Sebagai penyumbang pembangunan terbesar dalam bidang teknikal, saya berharap agar JKR Perak akan terus unggul dengan meraih kejayaan yang lebih besar pada tahun 2015. Oleh yang demikian, halatuju kita kepada tahun ini adalah memberi tumpuan serius kepada melaksanakan projek-projek pembinaan bermula dari perancangan, rekabentuk dan pembinaan supaya jalan yang dibina selesa dan selamat kepada pengguna jalanraya dan memastikan tiada projek yang lewat diserahkan kepada pelanggan. Tumpuan keselamatan juga perlu diambil kira semasa dan sesudah pembinaan serta keselamatan di tempat kerja. Kesedaran dan komitmen semua warga JKR adalah penting bagi merealisasikan hasrat ini.

Disamping itu, warga kerja JKR Perak perlulah mengamalkan sikap berintegriti dalam melaksanakan tugas dengan mempunyai jati diri yang tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni dan komited terhadap tugasan yang diberikan. Demi memartabatkan hala tuju dan memantapkan imej jabatan yang cemerlang, saya menyeru kepada semua warga JKR Perak, marilah sama-sama kita bergandingan tangan untuk terus maju dan tetap gemilang di tahun baru demi mencapai misi dan visi jabatan.

Akhir kata, marilah sama-sama kita mendoakan semoga kita akan terus meraih kejayaan pada tahun 2015 dengan lebih cemerlang dalam melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang serta usaha ini diberkati Allah Subhanahu Wataala.

Sekian, terima kasih.

Toh Paduka Setia Dato‚ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad,
Pengarah Kerja Raya Negeri Perak Darul Ridzuan.
31 Disember 2014