Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana izin dan limpah kurniaNya, sekali lagi kita diberi peluang melangkah ke tahun baru 2013.

Sudah menjadi kebiasaannya, apabila menjelang tahun baru, fikiran kita akan mula bertekad dengan pelbagai azam baru. Namun persoalannya adakah azam tahun lepas sudah terlaksana atau hanya tinggal sebagai azam yang tidak kesampaian. Justeru itu, marilah kita berazam untuk berganding bahu memberi sumbangan kepada jabatan dengan penuh komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan pencapaian JKR Perak dalam melaksanakan projek-projek pembangunan RMKe-10 di sepanjang tahun 2012. Saya percaya dengan semangat dedikasi, sifat tanggungjawab, kerja berpasukan serta profesionalisme warga JKR, kita boleh terus maju bagi kesinambungan pembangunan sebagaimana yang telah dirancangkan. Di sini saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas segala khidmat dan sumbangan yang telah diberikan. Walau bagaimanapun saya percaya dengan segala kepakaran, potensi dan kemudahan yang ada kita masih mempunyai peluang yang luas untuk terus meningkatkan lagi pencapaian ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai penyumbang pembangunan terbesar dalam bidang teknikal, saya berharap agar JKR Perak akan terus unggul dengan meraih kejayaan yang lebih besar pada tahun 2013. Oleh yang demikian, fokus kita kepada pada tahun ini adalah memberi tumpuan serius kepada projek-projek pembangunan supaya tiada projek yang lewat diserahkan kepada pelanggan. Oleh itu saya menyeru kepada setiap warga JKR Perak untuk bertindak secara proaktif dalam membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian bagi mencapai sasaran jabatan pada tahun ini.

Dari tahun ke tahun peranan JKR semakin hari semakin mencabar dan keadaan ini menuntut warganya komited dengan tugas tanggungjawab dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin mendesak terutamanya dari segi pembinaan jalan yang selesa dan selamat digunakan. Bagi mengwujudkan jalanraya yang selesa dan selamat digunakan JKR sekali lagi berperanan untuk melihat dari aspek kejuruteraan termasuk dalam perancangan, rekabentuk, pembinaan supaya jalan yang dibina selesa dan selamat kepada pengguna jalanraya. Pada tahun 2011, hampir 34,000 kemalangan jalanraya telah berlaku di Negeri Perak, daripada jumlah itu, 392 bilangan kemalangan maut berbanding 820 kematian pada tahun sebelumnya. Pada tahun ini, saya menyeru kepada semua warga JKR supaya dapat memberi sumbangan untuk mengurangkan atau tiada kemalangan maut di jalanraya iaitu dengan melihat kembali aspek kejuruteraan dalam pembinaan jalan tersebut.

Akhir kata, dalam merangka dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan agenda seterusnya di tahun baru, kejayaan dan perjalanan lepas seharusnya dijadikan ukuran dan pengajaran agar kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Sekali lagi, saya menyeru supaya sama-samalah kita bertekad dan berazam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik pada tahun ini. Semoga usaha kita akan diberkati Allah s.w.t dan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sesungguhnya sesuatu kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha gigih dari kita semua.

Sekian, terima kasih.

Dato€™ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad
Pengarah Kerja Raya Negeri
Perak Darul Ridzuan.
Januari 2013.

logobawah

Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Selasa 19 Mac 2024, 06:31:35.