IPOH - Kerja-kerja baik pulih Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang - Jelapang atau susur keluar Jalan Kuala Kangsar ke Meru Raya akibat mendapan tanah (sinkhole) dijangka mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja awal dijangka akan dimulakan Isnin ini dengan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM624,0000 bagi tujuan pembaikan kekal di Seksyen 4.73 itu.

"Hasil dari rayuan yang berterusan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah menerima peruntukan kecemasan sebanyak RM624,000 untuk digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal.
"Oleh itu, kerja-kerja awalan seperti 'site clearing', menebang pokok, persiapan akses jalan masuk dan pembinaan platform kerja telah dijalankan di bawah permukaan jalan bagi tujuan pembaikan sinkhole dengan kedalaman tujuh meter," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi mendapan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, JKR negeri juga telah berbincang dan membuat perancangan bersama konsultan dan pakar kontraktor untuk perlaksanaan kerja dan jentera.

"Kerja-kerja teknikal perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati terutama membabitkan pembentung di laluan sepanjang 20 meter itu untuk keselamatan pengguna jalan raya.

"Mendapan ini disebabkan berlaku kebocoran pembetung yang mengakibatkan takungan air di bahagian bawah," katanya.

Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri sedar dan mengambil perhatian serius terhadap rungutan pengguna jalan raya yang sering ditularkan di media sosial.
"Sebarang kelewatan pembaikan bagi laluan ini akan terus menyebabkan pengguna berdepan dengan kesesakan yang luar biasa terutama ketika waktu puncak dan hujung minggu," katanya.

Disember lalu, Sinar Harian melaporkan kerja baik pulih lapisan permukaan jalan di laluan tersebut terpaksa ditangguhkan susulan penemuan mendapan tanah sebesar 10 meter.

Mendapan itu disedari pihak syarikat konsesi pada 19 Oktober tahun lalu. Hakisan tanah itu dipercayai berpunca daripada resapan air kesan kebocoran longkang di tepi jalan.

JKR negeri telah menutup satu Lorong kepada trafik bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/181931/EDISI/Jalan-Ampang-Jelapang-dijangka-siap-April-ini

Mohd Zolkafly menunjukkan gambar di lokasi mendapan tanah di Jalan Ampang - Jelapang

 

 

logobawah
Hakmilik © 2020 JABATAN KERJA RAYA PERAK DARUL RIDZUAN
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF. Kemaskini Terakhir : Khamis 30 Jun 2022, 08:19:45.