Skip to main content

SESI LAWATAN KERJA YAA KETUA HAKIM NEGARA BAGI PROJEK PEMBINAAN MAHKAMAH SESYEN DAN MAJISTRET BAHARU IPOH, PERAK

Berita Terkini

IPOH, PERAK, 3 NOVEMBER 2026 – Yang Amat Arif Tun Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh, Ketua Hakim Negara telah menyempurnakan Sesi Lawatan Kerja dan Pembentangan Projek Pembinaan Mahkamah Sesyen dan Majistret Baharu Ipoh, Perak bertempat di Pejabat Tapak Projek pada 3 November 2026 (Selasa).
Sesi lawatan kerja peringkat tertinggi ini turut disertai oleh delegasi kepimpinan Badan Kehakiman Negara, iaitu:
 
• YAA Tun Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh – Ketua Hakim Negara (CJ)
• YA Dato' Nordin Bin Hassan – Hakim Mahkamah Persekutuan (MJ)
• YA Dato' Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Bin Raja Mohzan – Hakim Utama Mahkamah Negeri Perak (J1)
• YBrs. Tuan Azhaniz Teh Bin Azman Teh – Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (CR)
• YBrs. Tuan Mohammed Mokhzani Bin Mokhtar – Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya (PMRen)
• YBrs. Tuan Meor Sulaiman Bin Ahmad Tarmizi – Pengarah Mahkamah Negeri Perak (Pengarah)
 
Ketibaannya disambut oleh wakil Pegawai Penguasa serta pihak pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM, pasukan perunding serta kontraktor utama (Serasi Ventures Sdn. Bhd.). Sesi dimulakan dengan taklimat keselamatan diikuti pembentangan laporan kemajuan fizikal projek bernilai RM123.36 juta yang kini telah mencatatkan pencapaian 58.30%.
 
Dalam sesi pembentangan berkenaan, perhatian khusus telah diberikan terhadap kos Hiasan Dalaman (ID / Interior Design) yang merangkumi keperluan Notis Perubahan Kerja (NOC / Notice of Change). Pihak Mahkamah telah mengambil maklum perkara tersebut, manakala YAA Ketua Hakim Negara memohon agar proses kelulusan berkaitan disegerakan di peringkat Kementerian Ekonomi bagi memastikan pelaksanaan kerja ID berjalan lancar tanpa menjejaskan tempoh penyiapan projek.
 
Selain itu, pihak YAA Ketua Hakim Negara dan delegasi menzahirkan keyakinan terhadap komitmen dan keupayaan kontraktor utama untuk menyiapkan keseluruhan projek pembinaan prasarana kehakiman ini dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Sesi lawatan kerja diakhiri dengan perbincangan teknikal serta sesi bergambar kenangan bersama semua jemputan.
 
 
 
 
MYHRMIS MOBILE MYGOV