KUALA KANGSAR – Masalah murid dan pelajar gagal hadir ke sekolah tidak lagi timbul dengan siapnya Jambatan Sultan Muzzaffar Shah sepanjang 300 meter di Manong, dekat sini. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan jambatan yang menghubungkan Kampung Seberang Manong dengan Pekan Manong. Baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Projek pembinaan jambatan ini bermula pada tahun 2017 dan siap pada Oktober 2019 dengan kos melebihi RM37 juta. Sebelum ini, penduduk terpaksa menggunakan bot tambang sebagai pengangkutan harian untuk menyeberangi Sungai Perak. Kerosakan bot sering menyebabkan pelajar tidak dapat hadir ke sekolah. Sekiranya melalui jalan darat, jarak perjalanan mencecah 36 kilometer dan mengambil masa hampir 40 minit.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembinaan jambatan tersebut telah menghubungkan dua komuniti yang dahulunya terpisah oleh sungai dan jarak masa.
“Jambatan ini juga berpotensi merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pertanian setempat, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya ketika berucap di majlis perasmian.
Kini, jarak perjalanan dari Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong dipendekkan daripada 36 kilometer kepada hanya 3.5 kilometer, dengan tempoh perjalanan berkurang daripada 40 minit kepada kira-kira 13 minit sahaja. Penduduk juga tidak lagi perlu menaiki bot untuk ke pejabat pos, klinik, balai polis dan kemudahan lain yang terletak di pekan tersebut. – Sumber Utusan Online