Perutusan Pengarah Kerja Raya Perak Sempena Tahun 2012
Assalamualaikum w.m.b.t dan Salam 1 Malaysia.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. lantaran izin dan kehendakNya jua, kerana sekali lagi kita diberikan peluang untuk melangkah ke gerbang Tahun 2012, sekaligus melabuhkan tirai 2011 yang telah kita lalui dalam suasana tenang dan damai. Sesungguhnya waktu dan masa berpacu dengan amat pantas, hari esok menjadi tanda pembuka lembaran kepada dekad yang seterusnya penuh dengan cabaran.
Merentasi masa dalam tempoh 12 bulan yang lalu, secara peribadi saya amat berbangga di atas komitmen dan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua warga JKR dalam menjayakan misi jabatan. Pelbagai kejayaan telah kita capai dan kita tempuh dengan jayanya, termasuklah kejayaan dalam menyiapkan projek-projek pembangunan di Negeri Perak iaitu seperti Pusat Latihan Udara Polis,Perak, Kompleks Penyiaran Perak, Kompleks SPRM, INSTUN, Institut Latihan Statistiks Malaysia dan banyak lagi, manakala peratusan perbelanjaan pembangunan yang dicapai adalah hampir 99%; kejayaan dalam menjayakan majlis-majlis rasmi kerajaan, pengiktirafan 3 bintang dalam pengurusan kewangan Negeri, tempat pertama dan johan keseluruhan Inovasi JKR Malaysia serta pengiktirafan MS-ISO 9001:2008 dari SIRIM QAS Bhd. dan banyak lagi.
Tahun datang dan pergi, masa berlalu tanpa disedari. Namun yang pasti setiap warga kerja perlu sedar, dinamis, tidak berasa selesa ditahap yang sedia ada serta bertindak untuk berubah kearah sikap yang positif, responsif serta menyesuaikan diri mengikut perubahan semasa. Sikap positif yang dimaksudkan ialah mempunyai jati diri, mengamalkan nilai-nilai murni dan komited terhadap tugasan yang diberi. Oleh itu, demi memartabatkan hala tuju dan memantapkan imej kecemerlangan jabatan, saya menyeru kepada semua warga JKR Perak, marilah sama-sama kita bergandingan tangan untuk terus maju dan tetap gemilang di tahun baru ini dan bertekad bersama mempertahankan misi dan visi jabatan. Justeru itu, kita haruslah menjadi peneraju utama kepada Negara dan masyarakat dalam memberi sumbangan bagi pembangunan dan kemajuan di Negeri Perak khususnya seiring dengan matlamat Gagasan Perak Aman Jaya. Kita haruslan menjadikan tahun 2012 sebagai tahun dimana kita akan melancarkan banyak projek baru mengikut jadual bagi mempertingkatkan sistem penyampaian kita kepada pelanggan. Untuk tujuan itu, kita haruslah berubah cara kita bekerja agar program yang dirancang dapat dilaksana dengan lebih efektif, berkesan serta mempunyai impak kepada rakyat.
Akhir kata, marilah sama-sama kita mendoakan semoga usaha kita pada tahun baru ini akan terus meraih kejayaan dalam melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang dan diberkati Allah s.w.t. Sesungguhnya sesuatu kejayaan itu tidak akan datang tanpa usaha gigih dari kita semua.
SELAMAT TAHUN BARU 2012
DATO Ir. Dr. SAFRY KAMAL BIN HJ. AHMAD
Pengarah Kerja Raya Negeri Perak